Perspektif pada kali ini cuba menyingkap peristiwa- peristiwa penting bagi tahun 2008 yang baru sahaja melabuhkan tirainya tepat pada detik 12 tengah malam 31 Disember 2008. Pastinya tahun 2008 banyak meninggalkan suka duka dalam
lipatan sejarah dunia amnya dan negara kita Malaysia khasnya. Banyak fenomena di luar jangka yang menghiasi tahun ini dengan pelbagai cerita dan episod suka dukanya. Antara yang menarik untuk disingkap bersama adalah seperti sesuatu
yang digelarkan sebagai "tsunami politik" yang melanda negara pada pilihanraya umum yang baru sahaja berlalu pada mac yang lalu. Buat pertama kalinya dalam tempoh hampir lima puluh tahun kerajaan barisan nasional hilang majority dua
pertiga di parlimen dengan kebangkitan yang di luar jangkaan oleh Pakatan Rakyat. Selain itu, buat pertama kalinya lima buah negeri jatuh serentak ke tangan pembangkang dan misi untuk merampas kembali Kelantan nampaknya
sekali lagi menemui kegagalan. Tahun 2008 juga banyak memaparkan tragedi yang menguris hati kita sebagai seorang manusia terutamanya dengan peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit
dan turut meragut nyawa insan yang tidak bersalah. Satu penyelesaian segera perlu dicari agar peristiwa hitam ini tidak lagi berulang kembali. Sementara itu isu lain yang turut menarik sepanjang tahun 2008 ialah kenaikan harga minyak
mentah dunia secara mendadak sehingga mencecah paras tertinggi pada julai yang lalu iaitu pada harga dagangan 140 dolar seton. Justeru ianya telah menyebabkan hampir keseluruhan negara di dunia menerima tempiasnya.
Keadaan ini juga telah mengherat negara kuasa besar terutamanya Amerika Syarikat dan Jepun ke kancah kemelesetan ekonomi terburuk pada abad ini dan seterusnya menular ke negara-negara rakan dagangan utama mereka yang lain.
Impak dari suasana tidak menentu ini telah menyebabkan banyak syarikat gergasi utama dalam bidang perbankan khasnya "gulung tikar" antaranya seperti gergasi perbankan utama Amerika Syarikat iaitu Lehman Brother, akibat tekanan
yang terlampau kuat dari keadaan pasaran saham semasa akhirnya firma ini terpaksa akur dengan realiti sebenar dan akhirnya diisytiharkan muflis. Selain itu perspektif 2008 juga melihat isu rampasan kapal dagang di perairan Teluk
Aden, Somalia sebagai sesuatu yang mencuri tumpuan dunia. Kegiatan lanun yang semakin menjadi-jadi di kawasan tersebut telah menyebabkan industri perkapalan dunia berada dalam satu situasi yang amat berbahaya khususnya
kepada kelasi-kelasi atau mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang ini. Kes rampasan ini meningkat dengan begitu mendadak, syarikat perkapalan negara MISC juga tidak terlepas dalam kes ini dimana dua daripada kapalnya
turut menjadi mangsa. Walaupun usaha serantau dan global telah digerakkan dengan negara-negara yang terbabit menghantar armanda perang masing-masing untuk melindungi kapal dagang mereka namun ianya masih tidak berjaya untuk
mengekang kegiatan lanun tersebut. Selain itu cerita yang mencuri tumpuan pada tahun 2008 ini ialah sudah tentu tentang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, buat pertama kalinya dalam tempoh lebih 232 tahun seorang yang
berkulit hitam telah di pilih sebagai presiden amerika yang ke-44 iaitu Brack Obama. Dunia mengharapkan perkembangan ini sebagai satu titik perubahan menjelang tahun 2009, Obama diharap dapat mengubah iklim politik dunia yang
pada masa ini berada dalam suasana kacau bilau dan tidak menentu akibat dari kesilapan yang telah dilakukan oleh presiden Bush. Sebelum tirai 2008 di tutup, sudah semestinya dunia tidak akan melupakan kisah yang paling menarik pada
tahun ini iaitu insiden membaling kasut oleh seorang wartawan Iraq (Muktadar al-zaidi) kepada presiden Bush di Baghdad. Insiden ini telah memberi tamparan yang begitu hebat kepada Bush di akhir tempoh pentadbirannya yang bakal
berakhir pada pertengahan januari nanti. Namun tirai 2008 ini di tutup dengan insiden yang amat tragis iaitu serangan oleh rejim Israel terhadap masyarakat Palestin di Gaza yang telah meragut ratusan nyawa yang tidak berdosa setakat
ini. Keangkuhan rejim zionis nampaknya semakin sukar untuk dibendung dengan egonya yang semakin menjadi-jadi. Peristiwa-peristiwa di atas merupakan sedikit sebanyak sorotan yang dapat dipaparkan sepanjang mengenang tahun 2008.
Selamat menyambut tahun baru 2009 bersamaan 1430 Hijrah.
Reformasi Minda,
--Ahmad Muzakir Bin Ab. Razab--
Tiada ulasan:
Catat Ulasan