Disember 27, 2009

Tsunami: Dalam Lipatan Sejarah

Tragedi tsunami pasti masih lagi segar dalam ingatan semua pihak, terutama kepada mereka yang pernah menjadi mangsanya. Puluhan ribu nyawa melayang dalam sekelip mata dan kemusnahan dianggarkan mencecah ratusan juta dollar. Sesungguhnya semua yang terjadi ini pasti ada hikmah disebaliknya yang perlu sama-sama direnungi oleh semua pihak pihak sama ada yang berkuasa atau sebaliknya.

Namun yang pastinya, segala musibah yang menimba ini merupakan satu peringatan dari Allah s.w.t kepada kita umat manusia yang sering mendustai perintahnya. Sesungguhnya Allah s.w.t telah banyak memberi peringatan kepada umat manusia tentang bahana yang bakal menimpa sekiranya alpa dan leka terhadap suruhannya. Maka tarikh hitam 26hb Disember 2004, peristiwa Tsunami yang terjadi merupakan sesuatu yang boleh kita anggap sebagai peringatan daripada Allah S.W.T. kepada umat manusia.

Disebalik semua itu, satu lagi kemurkaan yang mungkin manusia lakukan ialah, betapa rakusnya tangan-tangan manusia memusnah dan merobek alam ini yang telah diamanahkan kepada kita sebagai khalifahnya di muka bumi. Dalam mengejar kemewahan dunia, manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai hasrat tersebut. Alam dinodai dengan sesuka hati mereka tanpa sebarang belas kasihan dan perikemanusiaan. Sesungguhnya ini merupakan sesuatu yang amat menyedihkan.

Oleh itu ingatlah bahawa semua yang terjadi itu merupakan satu ujian tuhan kepada kita agar manusia tidak terus lalai dan terpesona dengan kecantikkan dunia semata-mata. Khazanah alam seperti pokok bakau dan seumpamanya tidak seharusnya dirobek sesuka hati terutama dengan alasan pembangunan. Alam semulajadi sebagai perlindung sememangnya merupakan sesuatu yang amat terbukti berkesan.

Manusia pada hari ini, dilihat seakan lupa dengan semua itu. Justeru peristiwa tsunami yang telah berlalu beberapa tahun yang lalu dilihat sebagai satu pengajaran kepada kita semua. Sesungguhnya semua itu mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Selain itu, kemungkaran manusia pada perintah agar mentaati perintah dari yang Esa juga merupakan sesuatu yang seharusnya dijadikan iktibar.


 


 


 


 


 


 


 

November 04, 2009

Sekularisme

Sekalipun konsep sekularisme atau pemisahan antara agama di dunia ini tidak berlaku dalam ajaran Islam serta perkembangan umatnya, tetapi dewasa kini ia telah melanda majoriti masyarakat Islam seluruh dunia. Konsep yang sebenarnya asing dalam Islam dan sejarah umatnya telah dibawa masuk oleh musuh Islam, khususnya Yahudi dan Kristian melalui pelbagai bentuk penjajahan negara, fikiran dan budaya masyarakat Islam. Fahaman ini bagaikan bom jangka waktu yang dicampakkan oleh Barat kepada dunia Islam. Sejak abad ke-20 bom tersebut mula meletup dan menimbulkan polimik dan persengketaan yang berpanjangan di kalangan umat Islam sendiri, khususnya antara pendokong islam dan orang Islam yang mendokong fahaman sekular.
Polimik dan pertembungan ini tidak akan dapat diselesaikan selagi umat Islam seluruhnya tidak kembali kepada al-Quran dan hadis sepenuhnya. Fahaman sekular yang dicetuskan di Barat serta disebar luaskan oleh Yahudi dan Kristian pasti tidak berputus asa mempengaruhi umat Islam, sehinggalah umat Islam mengikut telunjuk dan cara hidup mereka, (al-Quran, surah al-Baqarah, ayat: 120). Sementara ajaran Islam dan perjuangan menegakkannya mestilah bersih daripada sebarang pengaruh dan fahaman manusia kerana ia bersifat Rabbani. Lantaran itu pertembungan pasti akan terus berlaku sehingga berlaku pemisahan antara sekular dan Islam ini sebagaimana terpisahnya siang dan malam.

Pergertian Sekular dari segi Bahasa
Perkataan sekular berasal daripada perkataan Latin, iaitu “Saeculum”. Dari segi bahasa perkataan tersebut membawa pengertian seperti berikut;
• Satu generasi atau zaman.
• Alam ini atau dunia ini. Maksudnya ialah dunia yang bertentangan dengan gereja.
• Sifat keduniaan yang tidak berhubungan dengan alam rohani atau akhirat.
• Masalah yang tidak dibawah pengaruh atau naungan gereja.
• Fahaman yang dibawa untuk menolak peranan dan pengaruh agama dalam kehidupan.

Pengertian dari segi Istilah
Menurut Muhammad al-Bahi, sekular ialah satu kepercayaan atau fahaman yang menganggap urusan agama, ketuhanan dan gereja tidak boleh dicampurkan dengan urusan negara, politik dan pentadbiran. Ringkasnya fahaman sekularisme ini memisahkan persoalan negara, politik, ekonomi, pentadbiran dan sebagainya daripada agama.

Ciri dan sifat sekularisme
Sekularisme sebenarnya mempunyai ciri-ciri dan sifatnya yang tersendiri dalam usaha membawa manusia kepada kehancuran. Antara ciri dan sifat sekularisme adalah seperti berikut;
• Pemisahan antara agama dan dunia. Agama dan dunia bagi sekularisme merupakan dua perkara yang tidak mempunyai hubungan sama sekali, serta matlamatnya amat jauh berbeza.
• Prinsip utama sekularisme juga ialah menolak kepercayaan kepada Tuhan, wahyu dan hari akhirat. Ciri-ciri tersebut adalah selari dengan makna asal perkataan tersebut dalam bahasa Latin.
• Penafian terhadap segala perkara yang berhubungan dengan aspek kerohanian dalam kehidupan manusia di dunia ini. Tujuannya supaya dunia ini kosong daripada pengaruh agama atau rohani sama sekali. Justeru itulah, segala kegiatan hidup hanyalah akan dapat ditumpukan sepenuhnya kepada kebendaan.
• Penafian terhadap kewibawaan orang-orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam bidang agama. Hasilnya mereka telah menanam fahaman memandang rendah terhadap ulama serta berani mencabar para nabi, wali Allah S.W.T dan sebagainya.
• Menafikan adanya nilai hidup yang tetap. Sikap ini lahir daripada anggapan bahawa agama itu adalah buatan manusia. Lantaran itu, mereka mengatakan sememangnya tidak wujud nilai-nilai yang bersifat sempurna dan tetap sehingga akhir dunia. Ekoran daripada fahaman seumpama ini, maka sekular itu juga bererti mereka menolak agama.
• Menjadikan kehidupan manusia yang bersifat keduniaan dan kebendaan semata-mata.
• Ilmu pengetahuan hendaklah diasaskan kepada akal dan pengalaman manusia di dunia ini sahaja. Tidak mengiktiraf ilmu yang bersumberkan wahyu dan tidak mengiktiraf ilmu yang berbicara mengenai kehidupan selepas mati.

Kenapakah Islam menentang Sekularisme?
Pengaruh sekularisme telah merebak dan menular dalam masyarakat dan negara Islam, walaupun sesetengah negara Islam itu tidak ada sebuah gereja pun. Hal itu adalah ekoran pemimpin negara Islam itu sendiri yang cuba memisahkan antara urusan negara dengan urusan agama. Antara lain juga ada pemerintah yang mengubal undang-undang ciptaan manusia daripada undang-undang Islam. Antara lain juga sesetengah pemimpin itu hanya melaungkan dan mengucapkan Islam di bibir mulut sahaja, sedangkan hakikatnya mereka benci kepada Islam dan di dalam urusan sosial, Islam juga diketepikan.
Justeru itulah, maka tidak hairan jika sekularisme telah mengambil tempat serta mendapat pengaruh dan berkembang di Asia, Afrika, malahan di seluruh dunia Islam melalui penjajahan Barat. Hasilnya, tidak hairanlah jika telah berlaku penentangan daripada kalangan masyarakat Islam terhadap Islam itu sendiri adalah lebih hebat berbanding penentangan orang-orang Eropah terhadap gereja dan pope mereka. Sebagai contoh, yang paling ketera ialah gerakan pembaharuan yang telah dilakukan oleh Mustafa Kamal Attartuk di Turki, selepas Perang Dunia Pertama. Mustafa Kamal telah mengisytiharkan negaranya Turki sebagai negara sekular pada tahun 1924M. seterusnya, hal tersebut telah merebak ke negara-negara Islam lain, termaksuklah di Asia.
Sekular merupakan suatu fahaman yang tidak berdasarkan Islam. Mereka mendewa-dewakan bahawa dasar dan konsep sekular yang terpisah daripada agama itu dapat menjamin kebahagiaan dan masa depan manusia. Namun begitu kita sering dapati mereka yang menafikan kepentingan agama bagi individu itu, hidup dalam kekosongan, serba salah, tidak tenang serta tanpa arah tujuan dan tanpa kasih sayang sejati. Lantaran itulah Islam menolak konsep sekular yang mengatakan agama adalah tidak berguna atau candu masyarakat, kerana sifat beragama itu adalah fitrah dan keperluan semulajadi setiap insan yang waras. Firman Allah S.W.T;
Maksudnya: Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka berdoa kepada Tuhan mereka dalam keadaan rujuk kembali bertaubat kepada-Nya..(surah al-Rum, ayat: 33)

Secara lebih terperinci mengenai persoalan mengapa Islam menentang sekeras-kerasnya sekularisme ini boleh dilihat dari aspek penyelewengan sekularisme dan kesan fahamannya terhadap masyarakat Islam.
Aspek-aspek penyelewengan sekularisme
• Tidak percaya kepada Tuhan dan menolak fahaman bertuhan
• Memusatkan kepada keduniaan dan kebendaan serta memisahkan agama daripada kehidupan.
• Agama adalah bersifat peribadi dan hanya boleh dibincangkan dalam tempat ibadat sahaja
• Tidak mempercayai kehidupan akhirat dan menganggap kehidupan di dunia adalah yang terakhir
• Persoalan Sam’iyyat dan perkara selepas mati adalah dongeng dan karut seperti azab kubur, syurga, neraka dan lain-lain.
Kesan fahaman sekularisme
• Merosakkan akidah masyarakat Islam dengan dakwaan bahawa urusan keagamaan dan pemerintahan negara adalah berasingan dan tidak boleh dicampurkan
• Menimbulkan syak wasangka dan keraguan masyarakat Islam terhadap ajaran agamanya sendiri dan sudah tentu merosakkan akidah.
• Kewujudan dualisme dalam struktur masyarakat Islam sendiri
• Merosakkan akidah umat Islam apabila mereka mengabaikan ajaran dan akidah mereka dengan penyerapan fahaman ini.
• Kehilangan kuasa politik yang ada pada umat Islam secar beransur yang akhirnya umat Islam akan menjadi lemah
• Sumber ekonomi umat juga akan menjadi terhad
• Menyebabkan hilangnya nilai Islam dalam kehidupan umat. Pengaruh sekular akan menjadikan mereka mencintai harta lebih daripada Allah serta bersifat angkuh dan pentingkan kebanggaan diri.

Kesimpulannya, pengaruh sekular telah banyak meresap dalam kehidupan dan urusan kehidupan dan keagamaan umat Islam serta negara Islam itu sendiri. Lantaran itu pengaruh ini hendaklah dibendung kerana kesannya boleh menyebabkan akidah umat Islam akan terpesong, kerana Islam membawa kesepaduan di antara urusan keduniaan, kehidupan dan keagamaan. Malahan umat Islam mestilah mengarahkan segala usaha keduniaan dan kehidupan mereka supaya menjadi satu ibadat. Apabila umat Islam menyedari hakikat ini dan menilai kembali fitrah dan peranan mereka diwujudkan ke dunia ini, maka dengan sendirinya mereka akan memahami bahawa keagamaan itu atau perkara ibadat bukan hanya tertumpu di masjid sahaja dengan melaksanakan ibadat khusus. Malah ia juga meliputi ibadat umum atau apa sahaja yang bersesuaian dengan Islam demi mencari keredhaan Allah S.W.T. Jelaslah di sini bahawa sekularisme yang memisahkan agama daripada keduniaan atau kehidupan dan menafikan agama adalah konsep yang salah dan bertentangan dengan akidah Islam.